Mekah Al Mukarramah |
Sambungan entry khabar dari Madinah, umrah part 1 kini kami
dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah. Jarak yang jauh, mengambil
masa hampir 8jam, Perjalanan yang sukar dilupakan kerana melalui jalan yang hanya
ada bukit bukit gondol batu tanah, rumput, pokok renek, ternakkan kibas dan unta.
Indahnya langit saat matahari terbenam, dan seram melihat beberapa penempatan
yang tidak ada orang,hanya bangunan tinggal dan kereta kereta buruk.
Kami singgah di Miqat Birr Ali untuk niat ihram dan umrah.
Serta berhenti di sebuah RnR untuk solat jamaq Maghrib dan Isya. Sepanjang
perjalanan Jemaah menyebut kalimah “Labaik allahumma Labaik”, ucapan penuh
rindu pada Allah yang maha Esa. Saya tidak dapat menahan perasaan , tanpa
diundang air mata asyik keluar. Ketika Nampak jam besar, penanda semakin hampir
memasuki tanah haram, semakin kuat kerinduan kepada baitullah. Kami sampai sekitar jam 11 malam. Singgah dihotel untuk meletak bagasi dan mengambil wudhu.
Seterusnya kami melakukan umrah yang pertama di bawah
pimpinan mutawwif, bermula di rukun yamani yang ditandai oleh kelambu kaabah
yang mempunyai corak bulat bulat, serta lampu hijau. Kami melambai lambai kaabah sambil istilam. Di sebelah kiri Saya memegang kain ihram ayah dan disebelah
kanan mak merangkul tangan saya. Mengingatkan kembali zaman kanak kanak dulu.
Seusai tawaf 7 keliling, kami solat sunat tawaf di belakang makam Ibrahim.
selesai umrah di bukit marwah |
Setelah itu kami mengerjakan saie, dari bukit safa ke marwah. Ayah dan mak walau telah letih dan sakit kaki, masih bertenaga untuk
jalan ulang alik, sekitar jam 2 pagi Jumaat kami tahalul, alhamdulillah selesai
umrah pertama Bersama pantang larang ihram. Esoknya kami datang lagi beribadah, bertawaf sunat dan solat di belakang makam Ibrahim. Dan ianya menjadi rutin kebiasaan semua jemaah umrah.
Potretkan Najlaa Baby Skincare di Masjidil Haram |
Sekitar jam 3 pagi Sabtu, saya telah bangun ke
Baitullah untuk iktikaf dan tawaf. Seorang ustaz berpesan perbanyakkan zikir
Laillahailallah, Istifar dan selawat. Sepanjang tawaf saya membaca zikir
tersebut, alhamdulillah dipermudahkan Allah masuk dan solat dihjir ismail, dapat
menyentuh batu tanda rukun yamani, di tolak Jemaah sampai kedepan Hajarul
Aswad, lantas terus menciumnya, mendakap kaabah, dan tawaf berikutnya berdoa sambil
memegang multazam.
Potretkan Najlaa Baby Skincare di Jabal Nur |
Pada hari berikutnya, kami telah menziarahi ladang unta. Di sini
saya minum susu unta segar, rasanya seperti susu ibu. Melihat kehidupan
masyarakat Badwi yang masih tinggal di khemah, Melawat Jabal Rahmah tempat
pertemuan Adam dan Hawa, tempat Lontar di Mina, Padang Arafah serta Masjid
Namirah. Kami niat umrah ke dua di Jaaranah, dan balik mengerjakan umrah
dimasjidil haram.
Masjid Namirah merupakan masjid terbelah dibelakangnya Arafah, didepannya luar sempadan Arafah. Hanya dibuka untuk orang awam semasa musim
haji tanggal 9 Zhulhijah, pada hari biasa ianya ditutup. Mengikut mutawwif Di
sini merupakan tempat pertemuan para wali yang datang solat berjemaah Bersama. Dikhabarkan
baunya juga mewangi, tapi sayang saya tidak dapat memasukinya.
Mak di ladang unta |
Pada hari isnin Kami menziarahi pintu depan muzium kaabah, muzium
masyarakat arab, bekas masjid hudaibiyah, Telaga Saidina Uthman, Niat umrah di
Hudaibiyah dan mengerjakan umrah ke tiga. Pada hari ini saya berpuasa sunat.
Seusai umrah dan solat asar kami seramai 10 orang Jemaah telah mendaki Jabal
Nur iaitu bukit bercahaya tertinggi di mekah. Di sini terdapatnya Gua Hira,
iaitu tempat pertama turunnya wahyu surah Iqraa, yang telah membuka jalan cahaya
kebenaran Islam yang kini tersebar ke merata dunia.
Telaga saidina Uthman |
Sungguh bukit ini tinggi, saya merasa untuk berhenti dan berguling
turun saja, tapi kerana malu pada Nabi Muhammad s.a.w yang datang beruzlah
bertahun tahun disitu dan malu pada Siti Khadijah yang telah mendaki jabal Nur
setiap 3 hari untuk menghantar makanan kepada Rasulullah s.a.w, saya tetap
menapak satu persatu dengan tabah. Sesampainya di sekitar puncak, azan Maghrib
berkumandang lalu saya dan seorang Jemaah lagi berbuka puasa dengan air zam zam,
buah kurma, kacang gajus, roti dan buah epal. Kami terus ke Gua Hiraa untuk solat
maghrib di sana, serta merakam kan gambar mekah dari atas puncak bukit. Walau
malam telah gelap, kami turun ketika waktu Isya, tiada lampu…ajaib sekali bukit
itu terang pemandangannya, dari mana
cahaya ini, tanya saya pada Jemaah. Dari Allah katanya.
Puncak Jabal Nur dan Gua Hiraa |
Pada hari berikutnya, kami melakukan iktikaf di masjid,
tawaf sunat. Pada hari Rabu, dibawah pimpinan mutawwif kami melakukan tawaf
wada, tawaf selamat tinggal. Alangkah sedihnya hari terakhir tinggal di Mekah
Al Mukarramah, seterusnya menaiki bas dan di hantar ke airport Jeddah.
Bermulalah satu kisah lucu yang merapatkan silaturahim Jemaah, apabila kami
telah dihantar ke airport domestic, setelah menurunkan beg secara tolong
menolong, seorang staff airport Jeddah memberitahu kami telah tersilap, lantas
dengan susah payah kami mengangkat semula beg kedalam bas dan pergi ke international
airport Jeddah.
Jika ketika datang dulu kami rasa perjalanan sungguh jauh,
kini semasa pulang perjalanan menjadi sekejap, jaraknya sama, dek kerana rasa
sedih meninggalkan baitullah, membuatkan waktu menjadi pendek. Syukur sekitar
jam 12 tengahari Khamis, kami selamat mendarat di KLIA.
Keunikkan kota mekah, di sini orang beribadah hampir
setiap masa, ketika azan berkumandang. Kedai kedai ditutup, kenderaan berhenti,
mereka lantas berdiri menghadap baitullah tak kira dijalan raya, dihadapan
kedai, didataran semua orang solat. Penduduk mekah juga hidup sekadar adanya,
seolah olah mereka hanya singgah untuk hidup sementara. Saya membawa hati yang
kesal, kerana ternyata, saya seolah olah ingin hidup selamanya di Malaysia.
Penduduk miskin di Malaysia, hidup jauh lebih mewah dari penduduk mekah. Orang
laki laki mahupun perempuan , rata ratanya berjubah, sejuk mata memandang. Di sana
rasa sangat selamat. Cahaya putih baitullah menyucikan jiwa, membuatkan hati menjadi tenang dan bersih, serta badan hilang letih.
Saya dan mak |
Demikianlah kisah Umrah. Terima Kasih meluangkan masa
membaca entry ini.
With Love
Gee Alma
#foundernajlaa
#NajlaaBabySkincare
No comments :
Post a Comment